Tiada lagi kekeliruan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sudah jelas dengan status Timor Leste sebagai lawan skuad Harimau Malaya dalam pusingan play-off pertama kelayakan Piala Dunia 2022, yang juga kelayakan ke Piala Asia 2023, Jun depan.

Sebelum ini, status Timor Leste mencetuskan tanda tanya susulan hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap negara itu.

Badan induk bola sepak Asia berkenaan tidak membenarkan Timor Leste untuk terbabit dalam sebarang aksi kelayakan Piala Asia 2023 selepas sembilan pemain naturalisasi negara itu gagal mengemukakan dokumen sah sewaktu kempen kelayakan edisi 2015.

Bagaimanapun, tiada larangan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap negara itu untuk menyertai kelayakan Piala Dunia, sekali gus dibenarkan untuk beraksi walaupun kelayakan kedua-dua kejohanan itu saling bersangkut-paut.

"Pada awalnya, memang terdapat kekeliruan mengenai status Timor Leste, namun dalam perbincangan saya dengan AFC, mereka menjelaskan ia masih dua perlawanan peringkat awal dalam proses kelayakan.

"Sama ada menang atau kalah, tiada sebarang perubahan terhadap status Timor Leste," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Timbul persoalan lain mengenai implikasi terhadap pusingan kelayakan itu sekiranya Malaysia gagal melepasi peringkat play-off dan Stuart menjawab: "Jika skuad kebangsaan tewas, kita masih memiliki peluang kedua untuk ke Piala Asia 2023 memandangkan pasukan di tangga ke-13 hingga ke-36 Asia akan bertanding bagi menentukan 12 pasukan terbaik untuk ke kejohanan utama."