Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, sedar kekuatan dan kelemahan skuadnya ketika bertemu Thailand sudah dibaca jurulatih sementara Indonesia, Yeyen Tumen, menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa ini.

Kejayaan menundukkan Thailand 2-1 merupakan aksi terbaik yang dipamerkan skuad negara dalam Kumpulan G setakat ini.

Di sebalik kepuasan itu, ada mata-mata yang sedang memerhati dan kemenangan tersebut membuatkan Indonesia mudah mengkaji kekuatan barisan Tan Cheng Hoe itu bagi pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelak.

Justeru, pengendali kelahiran Kedah itu memilih untuk mengambil langkah berhati-hati.

Sang Garuda melewati perubahan tampuk kejurulatihan yang sebelum ini dikendalikan Simon McMenemy apabila bakal menampilkan beberapa muka baru yang pada pengamatan Cheng Hoe, ia adalah senjata rahsia lawan.

"Ramai pemain mereka yang terlibat dalam perlawanan lalu tidak dibawa pada kali ini.

"Kami sedar mereka mempunyai beberapa pemain yang segar dan mereka juga mengintai aksi kami.

"Sudah tentu kami perlu memberi tumpuan kepada permainan sendiri sahaja," katanya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pagi tadi.

Dengan Stadium Nasional bakal dibanjiri penyokong yang turun memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya, jurulatih berusia 51 tahun berkenaan berharap anak buahnya dapat menggunakan kelebihan yang ada dengan sebaik mungkin tetapi tidak boleh membiarkan emosi mengatasi prestasi sebenar.

"Pertemuan dengan Indonesia sudah dianggap sebagai perseteruan ketat, itulah sebabnya tidak manis untuk melabelnya sebegitu.

"Saya tidak mahu barisan pemain negara beremosi kerana ada yang lebih daripada itu yang kami mahu tunjukkan, kami hanya mahukan keputusan yang positif."