Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengambil pendekatan berwaspada apabila menganggap tiada lawan mudah buat Harimau Malaya dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 walaupun tuah undian tampak memihak skuad kebangsaan.

Ibarat mini Piala AFF dan itu yang dapat dirumuskan apabila empat negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, diundi dalam satu kumpulan di samping Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk kempen kelayakan berkenaan.

Negara terbabit terdiri daripada Indonesia, Thailand dan juara Piala AFF tahun lalu, Vietnam, sekali gus menyaksikan Kumpulan G paling unik berbanding tujuh kumpulan lain.

Sememangnya, situasi itu meletakkan Cheng Hoe lebih bernasib baik berbanding jika diundi dengan pasukan handalan Asia yang lain dalam memastikan tiket ke Piala Asia 2023 menjadi realiti.

"Bagi saya, tiada perlawanan yang mudah dan setiap perlawanan cukup penting buat kami.

"Kami perlukan keputusan positif sekiranya mahu layak lebih jauh," kata pengendali negara itu.

Skuad negara sekurang-kurangnya perlu muncul dalam kalangan empat naib juara terbaik bagi mengiringi lapan juara setiap kumpulan ke pusingan ketiga kelayakan.

Apa pun, perancangannya harus bermula sekarang walaupun hasrat mengadakan aksi pemanas badan bertemu UAE tidak kesampaian gara-gara diundi satu kumpulan.

"Kita perlukan perlawanan persahabatan supaya dapat mengembalikan momentum, kombinasi dan kerjasama sepasukan," tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Joe Patitm, berasakan ini peluang untuk negaranya menembus kekecewaan dalam Piala AFF 2018 dengan berkata: "Saya rasa ini peluang untuk Thailand dan Malaysia mengadakan pertemuan semula tetapi kali ini di pentas yang lebih besar dan kami mahu ke pusingan ketiga."

Pengurus skuad kebangsaan Vietnam, Doan Anh Tuan, turut berwaspada dan tidak mahu memandang rendah keupayaan mana-mana lawan.

"Tiada jaminan dalam bola sepak sehinggalah 90 minit dihabiskan tetapi kami mahu menampilkan aksi terbaik dan akan berusaha ke arah itu," ujarnya.