Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, memuji anak buahnya kerana mempamerkan persembahan mantap sekalipun tewas 1-2 kepada Lubnan dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, semalam.

Katanya, semua pemain yang diberikan peluang beraksi, menampilkan prestasi baik dan bermain sepenuh hati sekalipun Malaysia sudah terkeluar daripada saingan merebut slot ke pusingan akhir kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu.

“Pemain kita menunjukkan permainan yang baik dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka kerana memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu.

“Kami sedar pasukan Lubnan jauh lebih baik berbanding kami dan saya harap kekalahan ini akan dijadikan pengajaran kepada pemain untuk meningkatkan prestasi mereka pada masa depan,” kata Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan.

Rakaman sidang media itu dihantar kepada Bernama oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Pada masa sama, Cheng Hoe percaya pasukan yang menggabungkan pemain muda dan berpengalaman itu mampu meningkatkan prestasi mereka jika diberi peluang bermain dalam lebih banyak perlawanan antarabangsa pada masa depan.

Dalam pertemuan malam tadi, Lubnan mendahului melalui ketua pasukannya, Hassan Maatouk, yang membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan, Matthew Davies, melakukan faul terhadapnya dalam kawasan penalti.

Pemain gantian, Muhammad Syafiq Ahmad, menyamakan kedudukan bagi Malaysia pada minit ke-72, namun pasukan tuan rumah berjaya mengatasi Harimau Malaya pada minit akhir perlawanan menerusi Hilal El-Helwe.

Keputusan itu menyaksikan pasukan kebangsaan mengakhiri kempen Kumpulan B di tempat terakhir dengan hanya satu mata sementara Lubnan muncul juara kumpulan selepas meraih 14 mata, diikuti Korea Selatan (11 mata) dan Hong Kong (5 mata).

-- BERNAMA