Jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mengakui tugas berat menanti skuad negara dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

Ketiga-tiga lawan Malaysia dalam kumpulan itu berada di ranking lebih tinggi berbanding skuad negara, dengan Korea Utara menduduki tangga ke-125 dunia, Hong Kong 140 dan Lubnan 148.

Kim Swee berkata skuadnya tiada pilihan selain berada di tahap terbaik dan meraih tiga mata dalam tiga perlawanan di laman sendiri bagi memastikan kemaraan ke pusingan akhir.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke pusingan akhir kelayakan itu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

"Perkara yang penting adalah kami harus mengumpul mata, terutama sekali di laman sendiri.

"Kami juga akan cuba untuk menghasilkan keputusan yang positif di tempat lawan, berkemungkinan kami mampu melayakkan diri ke pusingan seterusnya," katanya.

Kim Swee bersikap positif kerana format baru kelayakan itu menyaksikan terdapat jurang di antara satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kelayakan ini lebih berbeza dengan perlawanan dalam saingan Piala Suzuki AFF. Jurang di antara satu perlawanan dengan perlawanan seterusnya agak jauh dan ia membenarkan kami untuk memberikan tumpuan kepada setiap lawan yang bakal kami hadapi." tambahnya.