Ronald Koeman mengakui tindakannya tidak memasukkan pertahanan baru telah memakan diri sehingga terpaksa membayar harga mahal ketika Belanda tumbang 2-3 di kandang sendiri kepada Jerman dalam aksi Kumpulan C, kelayakan Euro 2020.

Serge Gnabry dan Leroy Sane memberikan Jerman pendahuluan 2-0 dalam separuh masa pertama tetapi Memphis Depay menghidupkan kembali peluang Belanda menerusi jaringan dan bantuan gol dalam pertembungan di Amsterdam itu awal pagi tadi.

Jerman membalas dendam terhadap kekalahan 0-3 mereka di tangan Belanda dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah tahun lalu yang menyaksikan Nico Schulz menyudahkan peluang pada minit ke-90 untuk memuktamadkan pertemuan klasik berkenaan.

Belanda belum pernah tewas kepada Jerman dalam aksi di tempat sendiri selama 23 tahun, sehubungan itu Koeman memikul tanggungjawab terhadap kekalahan itu berikutan tidak mengukuhkan barisan belakangnya pada lewat permainan yang menyaksikan Marco Reus membuat umpanan kepada Schulz sejurus diperkenalkan.

"Saya sudah berasakan mereka akan menjaringkan gol pada minit ke-85," kata Koeman dalam sidang akhbar. "Kami berbincang di bangku simpanan mengenai apa yang perlu dilakukan.

"Sekiranya kami membawa masuk (Nathan) Ake dan menggantikannya dengan pemain di bahagian serangan, mungkin itu idea yang lebih baik. Itulah kesilapan saya."

Belanda ketinggalan 0-2 menerusi gol berkualiti tinggi Jerman selepas Joachim Low memperkenalkan formasi tanpa penyerang yang menggugat pertahanan Belanda yang diketuai Virgil van Dijk dan Matthijs de Ligt -- menyumbat gol pertamanya di peringkat antarabangsa sejurus selepas perlawanan bersambung untuk merapatkan jurang.

Langkah perubahan taktikal Koeman, termasuk menggantikan Ryan Babel dengan Steven Bergwijn dalam separuh masa, telah membantu pasukannya untuk kembali memberikan saingan tetapi jurulatih Belanda berkenan mengkritik kesilapan mudah pemainnya di Johan Cruijff Arena.

"Kami kerap kehilangan bola. Jika anda tidak boleh memberikan tekanan di kedudukan yang lebih tinggi, permainan akan menjadi terbuka di bahagian pertahanan," kata Koeman. "Mereka memiliki beberapa penyerang hebat, kami memberikan terlalu banyak ruang buat mereka.

"Gol pertama yang kami bolos agak kurang bernasib baik selepas Virgil tergelincir. Gol kedua pula adalah luar biasa tetapi jangan lupa bahawa kami mempunyai dua peluang terhidang (melalui Babel) ketika kami hanya ketinggalan 0-1.

"Itulah detik terbaik buat kami. Kemudian kami memperagakan aksi menarik dalam babak kedua. Kami mampu memberikan tekanan kepada pasukan yang hebat seperti mereka. Kami juga sangat cemerlang ketika menguasai bola dan kami mengambil risiko tinggi tetapi kami terus memberikan tekanan.

"Kami bangkit dan sehingga minit-minit terakhir, peluang lebih cenderung buat kami untuk mendapatkan gol ketiga berbanding mereka. Saya sempat berasakannya: 'Tolonglah, biarlah kami meraih satu mata kerana kami boleh dibolosi tetapi akhirnya itulah yang berlaku."