Jurulatih China, Guus Hiddink, mengakui tidak sabar untuk berentap dengan skuad negara dalam aksi terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 selepas mudah merakam kemenangan kedua ke atas Filipina 8-0, petang tadi.

China mempamerkan kelas tersendiri selepas meraih kemenangan ke atas Filipina itu, sekali gus merekodkan kemenangan kedua dalam saingan kelayakan berkenaan.

China terlebih dahulu meraih kemenangan 5-0 dalam perlawanan pembukaan berdepan Laos.

Berkongsi enam mata selepas dua perlawanan dengan Malaysia yang meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Laos sebentar tadi, Hiddink mengakui tidak sabar untuk menghadapi aksi ketiga bertemu Malaysia, Selasa ini, yang dijangka bakal memberikan cabaran buat skuad bimbingannya.

"Kami menjangkakan saingan sengit berdepan Malaysia kerana mereka merupakan pasukan yang berkualiti ketika menyerang. Mereka dibarisi pemain yang berkemahiran tinggi dan satu cabaran yang baik buat pasukan," kata Hiddink.

China mendahului Filipina 5-0 dalam babak pertama menerusi jaringan Shan Huanhuan pada minit ke-10, Hu Jinghang (m-13 dan 42), Huang Cong (m-19) dan Lin Liangming (m-29).

Anak buah Hiddink itu terus memberi tekanan kepada Filipina dengan menambah tiga lagi jaringan menerusi Shan Huanhuan sekali lagi pada minit ke-77 dan dua jaringan oleh pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-48 dan 89.