MALAYSIA 2 CHINA 2

Skuad B-22 negara terpaksa menghitung nasib untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 tahun depan selepas seri 2-2 dengan China di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


China layak secara automatik selaku juara Kumpulan J menerusi kelebihan jaringan berbanding Malaysia di sebalik kedua-dua pasukan menghimpun tujuh mata.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, menurunkan tiga penyerang -- Hadi Fayyadh Abdul Razak, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid -- dalam kesebelasan terbaiknya untuk meraih kemenangan.

Stadium Shah Alam bergemuruh seawal minit ke-11 menerusi gol Syahmi Safari yang melakukan larian solo di bahagian sayap dari jarak 95 meter sebelum melakukan rembatan yang terbias pertahanan China untuk bola bergolek ke dalam gawang.

Akhyar hampir melebarkan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh tetapi percubaannya kali ini sedikit melepasi palang gol.

China kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-16 apabila Zhang Yuning mudah menanduk masuk hantaran Tang Shi selepas tidak dikawal ketat.

Pada minit ke-29, pertahanan negara, R. Dinesh, terlepas peluang terbaik untuk Malaysia kembali mendahului apabila tolakannya tidak tepat ke sasaran selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol China.

Skuad negara bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali mendahului dalam babak kedua.

Daniel Hakim Draman mengambil kesempatan daripada bola yang terlepas daripada tangkapan penjaga gol China, Chen Wei, hasil sepakan penjuru Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk gol kedua.

Kemudian, berlaku beberapa insiden kekasaran terhadap pemain negara yang gagal mendapat perhatian serius daripada pengadil dari Arab Saudi, Turki Alkhudhayk.

Pada ketika Malaysia hanya terpisah dengan enam minit untuk mencipta kemenangan, China menyamakan kedudukan melalui tandukan pemain tinggi lampai, Jiang Shenlong, untuk mengesahkan kedudukan di puncak Kumpulan J.

Jaringan itu menyebabkan Malaysia perlu menantikan keputusan akhir kumpulan lain untuk merebut salah satu daripada empat tempat terbaik yang ditawarkan buat pasukan yang mengakhiri proses kelayakan sebagai naib juara kumpulan.

"Apa yang paling penting, kami sudah layak. Saya harap Malaysia juga layak kerana saya gemar sesebuah pasukan yang bagus dapat bertanding.

"Selepas ini, semua pemain akan pulang ke kelab masing-masing sambil kami membuat mengatur perancangan sehingga Januari depan," kata jurulatih China, Guus Hiddink.

Menurut jurulatih negara, Kim Swee: "Kami dibolosi pada minit-minit terakhir.

"Kalau keputusan memihak kepada kami, maka kami akan mara secara automatik tetapi kini, kami perlu menunggu keputusan lain pada lewat malam ini.

"Saya harap sesuatu berlaku dan apa jua keputusannya, tahniah kepada pemain-pemain kerana berjaya membuktikan mampu bersaing dengan China biarpun hanya mengadakan persiapan singkat."