LAOS 3 FILIPINA 2

Penyerang Laos, Bounphachan Bounkong, muncul wira apabila memberikan kemenangan 3-2 kepada pasukannya pada saat-saat akhir perlawanan ketika menentang Filipina dalam aksi terakhir mereka dalam Kumpulan J, kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 di Stadium Shah Alam, hari ini.


Keputusan itu, bagaimanapun, tidak membawa sebarang makna memandangkan kedua-duanya sudahpun tersingkir daripada perebutan ke pusingan akhir di Thailand tahun depan selepas masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat kumpulan.

Dalam aksi hari ini, Filipina lebih awal membolosi pintu gol lawan menerusi Javier Gayoso yang menggelecek dua pertahanan Laos untuk merembat gol pembukaan pada minit ke-11 sebelum menyempurnakan sepakan penalti bagi gol keduanya pada minit ke-32 selepas dikasari dalam kotak penalti oleh pertahanan Laos.

Babak kedua perlawanan menyaksikan ketua jurulatih Laos, V. Sundramoorthy, membuat dua pertukaran yang membuahkan hasil apabila Chitpasong Latthachak merapatkan jurang gol pada minit ke-73 untuk menewaskan penjaga gol Filipina, Michael Asong, menerusi sepakan leret dari sudut sukar.

Pemain tengah, Vannasone Douangmaity, menyamakan kedudukan pada minit ke-87 sebelum Bounkong merembat masuk gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Sundramoorthy berkata beliau gembira dengan kemenangan tersebut selepas tewas 0-5 di tangan China dan 0-1 kepada Malaysia dalam dua perlawanan terdahulu.

“Saya gembira dengan prestasi pasukan yang keletihan selepas bermain pada waktu petang (menentang China) sebelum ini.

“Apabila kami kembali ke Laos, mereka akan terus bermain dalam liga tempatan dan saya akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebelum kami ke Sukan SEA Filipina 2019,” kata Sundramoorthy.

Penolong ketua jurulatih Filipina, Randolfo Paolo Clarino, juga gembira dengan prestasi pasukannya dan berkata mereka akan meneruskan persediaan bagi menghadapi Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember depan.

“Walaupun kami kalah ketiga-tiga perlawanan, saya sangat gembira kerana dapat membentuk pasukan dalam masa yang singkat memandangkan sebahagian besar barisan pemain ini masih belajar di universiti.

“Tiga kekalahan berturut-turut dalam kejohanan ini menjadi pengajaran berguna kepada mereka untuk membaiki kelemahan menjelang Sukan SEA 2019,” katanya.

-- BERNAMA