Penyerang skuad B-23 negara, Akhyar Rashid, mengakui kurang minit bermain dalam saingan liga menjadi punca dia terpaksa berhempas-pulas mencari rentak dalam aksi pertama kelayakan Kejohanan AFC B-23 bertemu Filipina, semalam.

Pemain kelahiran Kedah itu cemerlang menyumbang dua jaringan, namun Akhyar menegaskan dia sebenarnya bergelut mencari momentum permainan.

Ia berpunca daripada kekurangan minit bermain bersama pasukan terbaik Liga Super setakat ini, Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus memaksa Akhyar bekerja lebih keras bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Ia amat jelas dan terbukti menerusi aksi pertama skuad negara bertemu skuad B-22 Australia dalam perlawanan persahabatan apabila dia tidak mempamerkan aksi sebenar.

"Bukan mahu mengambil mudah ketika bertemu Australia sebelum ini tetapi mereka mempamerkan persembahan yang konsisten sementara kami masih lagi mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain," katanya.

Tambah Akhyar, aksinya di Stadium Shah Alam semalam bukan yang terbaik ekoran kecederaan paha yang masih dirasai ketika ini.

"Saya masih lagi mengalami kecederaan sebelum ini dan saya berjaya mengatasinya ketika berdepan Filipina."

Dalam situasi yang tidak memihak sepenuhnya kepada Akhyar, pemain itu tetap menyumbang dua jaringan untuk negara sebelum Faisal Halim menyempurnakan kemenangan 3-0 ke atas Filipina.