Selain kemampuan tuan rumah, wakil Hong Kong, Kitchee SC, bimbang cuaca panas di Ipoh akan menjadi penghalang kepada persembahan mereka dalam pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak, malam ini.

Jurulatih Kitchee, Alex Chu Chi Kwong, berkata cuaca panas mencecah sehingga 34 darjah Celsius sudah pasti sedikit-sebanyak akan menyebabkan anak buahnya menghadapi kesulitan.

"Kami berhadapan dua musuh. Satu, pemain Perak dan satu lagi cuaca panas.

"Perubahan cuaca ini sudah tentu akan menjejaskan pemain Kitchee.

"Ini kerana di Hong Kong ketika ini musim sejuk dan suhu hanya sekitar 16 darjah Celsius," katanya.

Namun, Alex berkata itu bukan alasan dan berharap anak buahnya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan.

Dia yakin pasukan kendaliannya itu akan mempamerkan persembahan terbaik untuk memenangi pusingan kedua itu.

Musim lalu, Kitchee beraksi di peringkat kumpulan ACL bersama wakil Jepun, Korea Selatan dan China dalam Kumpulan E.

"Kami menang sekali dan tumpas lima perlawanan.

"Pengalaman yang ditimba tahun lalu sudah pasti berguna untuk pemain mengharungi kempen kali ini.

"Saya harap kesemua pemain mampu memberikan persembahan terbaik bagi mencapai kejayaan,” katanya.