Beraksi dalam cuaca sejuk serta menentang pemain-pemain handalan daripada pasukan ternama cukup untuk membuatkan pemain muda Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi, teruja untuk menghadapi Ulsan Hyundai dalam kelayakan Piala Juara-Juara AFC (ACL) 2019 di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu, Korea Selatan, Selasa ini.

"Ia merupakan pengalaman baru yang akan menjadikan saya lebih matang.

"Ia tidak dapat dibeli dengan wang. Saya bersyukur berada dalam pasukan Perak yang layak beraksi di peringkat antarabangsa ini," kata pemain tengah menyerang itu.

Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Fi dalam kalangan anggota skuad The Bos Gaurus itu bertekad untuk memberikan sumbangan terbaik bagi membantu kejayaan pasukan.

"Kami berdepan tugas berat di Ulsan tetapi kami akan mencuba habis-habisan untuk memberikan yang terbaik.

"Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Apa yang pasti, kami tidak akan mudah menyerah, " ujarnya.

Menurut pemain itu, kemenangan ke atas Kitchee SC dalam pusingan awal pusingan kelayakan meningkatkan keyakinan dirinya serta rakan sepasukan untuk menghadapi pasukan dari Liga-K itu.

"Tiada siapa yang memberikan tumpuan kepada Perak ketika kami bertemu lawan handalan dari Hong Kong.

"Bagaimanapun, kami membuktikan bahawa Perak juga mempunyai wibawa dan perwatakan untuk membawa reputasi dan maruah bola sepak Malaysia," katanya.

Pemain itu berharap rakyat Malaysia, khususnya penyokong Perak, akan mendoakan kejayaan mereka untuk layak ke kejohanan ACL sebenar.