Ketua jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail, berkata banyak aspek yang perlu dibaiki jika skuad itu mahu melangkah jauh dalam saingan Piala FA, musim ini.

"Alhamdulillah, pemain masih mampu melakukan sesuatu biarpun beraksi di bawah panas terik.

"Tahniah kepada semua pemain yang menunjukkan kesungguhan memburu kemenangan pertama.

"Namun, banyak kelemahan yang perlu diatasi segera, terutama di barisan serangan, jika kami berhajat mara lebih jauh dalam pertandingan kalah mati ini," katanya.

Zahasmi yang juga bekas pengendali Liga Super Kelantan memberitahu kegagalan menyempurnakan peluang yang terhidang untuk menghasilkan jaringan perlu dielakkan kerana mampu memberi tekanan kepada pasukan.

"Saya akui ini adalah aksi pertama pasukan tetapi kegagalan pemain memahami tuntutan posisi boleh merencatkan strategi pasukan.

"Saya akan memberi tumpuan lebih dalam aspek ini sepanjang sesi latihan," ujarnya

Zahasmi juga menambah Kelantan United akan menguji awang import dalam beberapa aksi persahabatan yang diatur bagi menguatkan pasukan.

"Kami mencari dua pemain import yang berkualiti. Seorang penyerang yang mampu menghasilkan jaringan dan pemain pertahanan yang tenang mengemudi benteng.

"Petang ini, kami akan turun menentang Pilihan Melor dalam aksi persahabatan di Padang Perdana untuk menguji seorang penyerang import dari Madagascar," katanya.