Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, gusar dengan tempoh singkat di antara dua perlawanan penting berdepan Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, bulan depan.

Saingan bola sepak Malaysia berehat sebentar bagi memberi laluan kepada aksi perlawanan antarabangsa dan kembali bersambung pada April.

Tugas sukar menanti Zahasmi apabila Kelantan bakal berdepan Pahang pada 8 April dan tiga hari berikutnya bertemu penyandang juara Liga Super, JDT.

Bagi Zahasmi, dua perlawanan ini antara yang paling mencabar dan sengit di mana beliau perlu memastikan kecergasan pemain di tahap terbaik selepas sebulan tidak beraksi.

Bagaimanapun, menang 2-1 dalam aksi persahabatan ke atas PDRM pada Rabu lalu sedikit-sebanyak membantu Zahasmi untuk menilai prestasi anak buahnya.

"Kami memiliki masa yang singkat untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan berdepan Pahang dan JDT, saya berharap Kelantan dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam perlawanan ini," katanya.

Pengendali PDRM, Fauzi Pilus, pula mengharapkan pasukannya terus konsisten untuk meraih kemenangan seterusnya dalam saingan Liga Perdana berdepan UiTM meskipun masih lagi kehilangan tonggak utamanya, Shakir Ali, yang mengalami kecederaan lutut.

"Jika terdapat perkembangan positif dalam proses pemulihan pemain-pemain yang mengalami kecederaan, kami akan menguji mereka pada bulan Jun atau Julai ini," ujarnya.