Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, berharap kekuatan mental anak buahnya berada pada tahap terbaik untuk memulakan kempen dengan langkah positif apabila berdepan cuaca sejuk menjelang aksi pertama menentang Iraq dalam Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China, Rabu ini.

"Kita tidak boleh ubah cuaca ini, sama ada hujan, salji dan apa sekalipun. Yang penting, kami harus memikirkan corak permainan kami, apa yang kami perlu lakukan kepada lawan dan pada masa sama cuba mencipta sesuatu kejutan.

"Kami sudah melalui semua keadaan cuaca. Kami perlu mengambilnya sebagai positif," katanya.

Kim Swee juga percaya anak buahnya sudah bersedia meskipun mengakui pertembungan dengan Iraq di Changshu itu bakal menyajikan aksi tegang.

Ia ditambah dengan dakwaan ada pemain Iraq cuba mengganggu mental pemain lawan dengan bertemu secara berdepan dan merenung sambil 'buat muka' seperti mahu menakutkan serta memperlekehkan mereka di hotel penginapan.

"Itu (gangguan pemain Iraq) pada saya adalah daripada segi psikologi dan pemain kami mengambil cara yang lebih profesional dan itu tak mengganggu persiapan kami.

"Kami harus hormat setiap pasukan lawan tapi dalam masa sama, kami kena buktikan kami lebih matang dalam padang.

"Setiap perlawanan akan menjadi amat tegang, bukan saja dengan Iraq tapi Jordan dan Arab Saudi," katanya lagi.