Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mahu anak buahnya meletakkan kekuatan mental sebagai perkara utama dalam kunjungan ke Hanoi menjelang pertemuan menentang Vietnam, Jumaat ini, sambil menjangkakan perlawanan itu mendapat sambutan luar biasa penyokong tuan rumah.

Tugas sukar menanti skuad negara berdepan Vietnam apabila lawan bukan sahaja miliki reputasi hebat, malah turut mendapat sokongan padu peminat.

Akhbar tempatan melaporkan jualan tiket bagi pertemuan yang akan berlangsung di Stadium My Dinh itu habis dijual, dengan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) menerima permintaan untuk menambah jualan tiket.

Situasi itu tampak menambah tekanan kepada barisan pemain negara untuk mencapai keputusan positif bagi mengesahkan kemaraan lebih awal ke peringkat separuh akhir.

"Ramai pemain yang sudah terbiasa beraksi di depan ribuan penonton, tidak kira apa kejohanan. Saya rasa itu tidak menjadi penghalang untuk mendapatkan keputusan baik.

"Namun, kami harus bijak menyerap serangan Vietnam kerana Harimau Malaya memerlukan keputusan positif sekiranya ingin ke peringkat seterusnya," ujar Cheng Hoe.

Skuad negara tiba di Hanoi hari ini dengan moral yang cukup tinggi selepas menundukkan Laos 3-1, Isnin lalu, untuk mengutip kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A.

Ini merupakan kali kedua skuad negara berkunjung ke tempat lawan dalam kempen kali ini yang menggunakan format berbeza berbanding edisi lalu.

"Kami harus menyesuaikan diri apabila bertandang ke tempat lawan. Mungkin ia mengganggu sedikit disebabkan perjalanan yang jauh tetapi saya rasa pemain sudah bersedia. Situasi sama dilalui dalam aksi persahabatan sebelum ini."

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, berpendapat tekanan tetap sama walaupun pertemuan kali ini melibatkan peringkat yang berbeza berbanding edisi 2014.

"Perbezaan berbanding pertemuan sebelum ini adalah ketika itu ia merupakan aksi separuh akhir dan Jumaat ini menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan tetapi saya rasa tekanan tetap sama kerana Vietnam merupakan pilihan dalam kumpulan. Ia bukan tugas mudah di Hanoi," katanya.

"Jika diberi peluang lagi untuk beraksi dalam kesebelasan utama, saya berharap dapat meningkatkan prestasi untuk membantu pasukan. Diharapkan keputusan memihak kami."