Bekas pengendali Itali dan AC Milan, Arrigo Sacchi, yakin Juventus memiliki kualiti untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Juventus telah mendominasi saingan domestik di Itali beberapa tahun ini apabila lima kali berturut-turut muncul juara Serie A dan kini dalam landasan untuk merangkul kejuaraan keenam Scudetto.

Bagaimanapun, musim ini, pasukan berpangkalan di Turin itu menyasarkan trofi UCL.

Finalis 2014-15 itu akan berdepan kelab Portugal, FC Porto, dalam pusingan 16 bulan depan.

Sacchi -- yang membawa Milan muncul juara pada tahun 1989 dan 1990 -- percaya musim ini adalah masa terbaik buat Juve untuk merangkul kejuaraan ketiga UCL sejak tahun 1996.

"Saya yakin tahun ini adalah masa terbaik buat Juventus di Eropah," Sacchi memberitahu La Stampa.

"Jika melihat kepada pasukan gergasi lain di Eropah, mereka sedang bergelut. Lihat saja Real Madrid yang bergelut ketika dalam Piala Dunia Kelab manakala pasukan kelompok atasan Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan Liverpool, tidak beraksi dalam UCL.

"Juve memiliki segala-galanya untuk muncul juara: seorang jurulatih berkaliber dan pemain yang bertaraf dunia. Mereka cuma perlu yakin dengan kemampuan masing-masing.

"Dalam tempoh 40 tahun ini, kejuaraan UCL menjadi milik pasukan yang mendominasi. Maksud saya, dengan cara mereka menguasai perlawanan.

"Dalam Serie A, cukup menarik untuk melihat aksi Napoli sementara Roma masih mengekalkan corak serangan.

"Namun, Juventus berada di tahap yang berbza.

"Bianconeri memiliki kelebihan daripada aspek keyakinan, peraturan dan corak permainan yang tidak boleh didapati di mana-mana."