Jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui telah mendapat tawaran untuk membimbing pasukan dalam Liga Perdana, musim depan.

Walaupun tawaran berkenaan belum rasmi, Tengku Hazman berkata sudah ada beberapa pasukan bertanya tentang hala tujunya pada 2019.

Sentuhan bekas ketua pasukan kebangsaan itu mula mendapat perhatian selepas membawa TFC II menjuarai Piala Cabaran dengan menewaskan UKM FC, malam tadi.

"Saya perlu melihat kepada tawaran yang serius, seterusnya segera membuat keputusan kerana semua pasukan sudah memasuki tempoh mempersiapkan pasukan.

"TFC II belum membuat keputusan mengenai khidmat saya. Sekiranya masih diperlukan, saya bersedia untuk terus melatih pasukan ini dalam Liga FAM," ujarnya.

Sementara itu, Tengku Hazman menyifatkan kejayaan memenangi Piala Cabaran sebagai tonik terbaik selepas mengharungi musim yang sukar dalam Liga Perdana.

Walaupun mengakui prestij kejohanan edisi sulung itu tidak sehebat Piala Malaysia, Piala FA mahupun saingan liga, pencapaian menjulang trofi berkenaan juga sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan malam ini (semalam), ternyata apa yang dirancang membuahkan hasil.

"Sudah tentu ini pengubat luka paling bermakna. Saya harap kejuaraan ini memberi inspirasi kepada TFC II," jelasnya.