Kejohanan Piala Empat Negara bulan depan akan manjadi saingan seimbang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Singapura kini dalam proses akhir untuk melengkapkan penyertaan dalam kejohanan jemputan itu.

FAM hanya menunggu jawapan daripada tiga negara untuk membentuk penganjuran Piala Empat Negara bulan depan.

Tiga negara tersebut ialah Singapura, Kuwait dan Afghanistan yang akan mengisi slot terakhir dengan hanya Singapura memberikan reaksi positif setakat ini.

"FAM kini hanya menunggu balasan daripada ketiga-tiga pasukan dengan persetujuan yang kami turut hantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pengesahan.

"Buat masa ini, kami hanya menunggu respons daripada mereka.," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan dua pasukan berkualiti tinggi sudah sah mengambil bahagian.

Pasukan terbabit adalah New Zealand yang beraksi dalam Piala Dunia 2010 dan Oman yang baru mengharungi kempen Piala Asia 2019.

Piala Empat Negara akan menjadi medan terbaik untuk skuad Harimau Malaya melonjakkan kedudukan ranking dunia mereka menjelang kelayakan Piala Dunia 2022, pertengahan tahun ini.

"Kami masih meneliti jadual perlawanan memandangkan Kejohanan Kelayakan AFC B-23 turut berlangsung di Malaysia pada waktu itu.

"Bulan Mac ini akan dipenuhi dengan aksi bola sepak skuad kebangsaan," tambah Stuart.