Pemain tengah skuad B-22 negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat, yang baru pulih daripada kecederaan lutut, bersedia untuk melahirkan cetusan kreativiti bagi menghasilkan jaringan untuk membantu Malaysia menewaskan Indonesia dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan AFF di Kemboja, petang ini.

Nik Akif hampir pasti diturunkan dalam kesebelesan utama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bagi membantu jentera serangan yang diketuai Jafri Firdaus Chew.

Dalam perlawanan menentang Kemboja kelmarin, dia memberikan sinar buat Malaysia selepas dipanggil untuk mengerah kudrat daripada bangku simpanan.

Tanggungjawab berat kini dipikul anak muda kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu untuk menjadi sandaran kemenangan ketika Malaysia menentang Indonesia.

"Syukur Alhamdulillah, saya dapat kembali beraksi dalam kejohanan ini.

"Setakat ini, tahap kecegasan dan fizikal saya berada di tahap terbaik.

"Emosi dalam pasukan kini sedikit kecewa.

"Ia merupakan tanggungjawab yang berat memandangkan kami akan beraksi di padang dengan rumput tiruan.

"Namun, saya yakin kami akan berjaya meraih tiga mata," katanya.