Biarpun berdepan krisis kecederaan dan penggantungan pemain, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, memberi jaminan skuad negara akan tampil dengan taktikal menyerang ketika berdepan Indonesia dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan AFF di Kemboja, petang ini.

Kim Swee mengesahkan khidmat penyerang negara, R. Kogileswaran, terpaksa dilupakan sehingga aksi dengan Myanmar, Jumaat ini.

Tempat Danial Hakim Draman yang digantung satu perlawanan ekoran layang kad merah pula akan diisi Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Tiada banyak perubahan. Satu kekalahan tidak bermakna kami perlu menukar sistem sedia ada.

"Kami perlu membaik pulih kesukaran yang dihadapi ketika menentang Kemboja sebelum ini," katanya.

Malaysia kian terdesak untuk memburu mata dalam kejohanan ini selepas dikejutan dengan kekalahan 0-1 di tangan pasukan tuan rumah itu kelmarin.

Gara-gara itu, Kim Swee berpandangan anak buahnya perlu berada dalam kedudukan taktikal yang mampu menghasilkan jaringan.

"Kami memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

"Saya tidak berasakan kami perlu bertahan dalam perlawanan ini.

"Kami memerlukan jaringan untuk meraih kemenangan.

"Tiada perancangan untuk kami tampil bertahan memandangkan sistem permainan kami sebelum ini juga bukan bersifat bertahan," tambahnya.

Sementara itu, pengendali Indonesia, Indra Sjafri, memberi bayangan aksi terbuka akan menjadi latar belakang kepada pertembungan pasukannya dengan Malaysia.

Ia susulan kemahuan Indonesia untuk layak ke separuh akhir selepas diikat Myanmar 1-1 dalam aksi pembukaan.

"Saya menyedari Malaysia sentiasa menjadi lawan yang sukar buat kami.

"Kami tidak akan bertahan kerana kami perlu memenangi perlawanan ini," katanya.