MALAYSIA 1 MYANMAR 0

Hasrat skuad B-22 negara untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan AFF B-22 tidak kesampaian meskipun menewaskan Myanmar 1-0 di Stadium RSN, Phnom Penh, sebentar tadi.


Ia susulan kejayaan Indonesia menundukkan tuan rumah, Kemboja, 2-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B yang berlangsung serentak.

Gol daripada Hadi Fayyadh Abdul Razak belum cukup untuk memastikan kemaraan skuad muda negara selepas hanya menduduki tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, kekurangan satu mata di belakang Indonesia di tangga kedua dan dua mata di belakang Kemboja selaku pendahulu kumpulan.

Malaysia turun beraksi dengan semangat berkobar-kobar dengan harapan dapat memenangi perlawanan itu untuk melangkah ke separuh akhir sambil mengharapkan Indonesia tewas di tangan Kemboja.

Namun, penjaga gol negara, Haziq Nadzli, terlebih dahulu diuji percubaan awal Hein Htet Aung yang terbias pertahanan negara pada minit ke-11.

Malaysia kemudian berpeluang untuk membuka jaringan pada minit ke-14, namun sepakan percuma Nik Akif Syahiran Nik Mat sedikit melewati palang gol.

Tandukan Jafri Firdaus Chew kemudian sekadar tersasar di sebelah kiri gawang lawan pada minit ke-23.

Skuad negara, bagaimanapun, memecah kebuntuan pada penghujung babak pertama selepas Hadi Fayyadh bertindak bijak mengejar bola percubaan awalnya yang terkena tiang gol lawan untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Myanmar lebih menguasai babak kedua, namun tiada pertambahan jaringan terhasil untuk Malaysia tersingkir daripada kejohanan itu di sebalik memenangi perlawanan terakhir.

"Amat mengecewakan untuk tersingkir di peringkat kumpulan.

"Namun, kami tidak boleh menyalahkan sesiapa dengan perlawanan pertama (tewas 0-1 kepada Kemboja) di mana kami tidak mendapat sebarang mata perlu dijadikan pengajaran.

"Tentang kelayakan Kejohanan AFC pula, kami perlu melakukan persediaan lebih awal.

"Saya percaya barisan pemain saya telah membuktikan mereka boleh bermain dengan semangat juang tinggi walaupun permukaan padang tidak baik," kata ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee.

"Saya amat gembira dan berbangga dengan pasukan ini.

"Mereka telah memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan dan tidak pernah mengaku kalah.

"Pada masa sama, saya amat kecewa kerana kami tidak layak ke separuh akhir.

"Namun, secara keseluruhan, saya masih berbangga dengan pasukan ini," kata Hadi Fayyadh.