Pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, berpendapat kekalahan di tangan Kemboja dalam aksi pertama Kejohanan AFF B-22 dikenal pasti sebagai punca Malaysia tersingkir awal di Phnom Penh.

Malaysia menamatkan kempen sebagai pasukan ketiga terbaik Kumpulan B yang dilabel memiliki saingan paling getir.

Susulan daripada kekalahan 1-0 di tangan Kemboja dalam aksi pertama, Malaysia terus tercicir mata untuk bangkit setelah sekadar mencatat keputusan 2-2 dalam aksi berdepan Indonesia.

Bagi aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar, Malaysia menunaikan janji untuk meraih kemenangan hasil jaringan tunggal Hadi Fayyadh Abdul Razak tetapi kemenangan 2-0 Ondonesia ke atas Kemboja menyaksikan mereka mengiringi tuan rumah ke separuh akhir.

"Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa. Perlawanan pertama kami gagal mendapatkan mata. Mungkin ia menjadi pengajaran yang cukup bermakna. Selepas ini, kami harus memikirkan tentang kelayakan Kejohanan AFC dan melakukan persiapan lebih awal," ujar Kim Swee.

"Pemain bukan sahaja telah mempamerkan semangat juang yang cukup tinggi tetapi dengan keadaan permukaan padang yang baik, mereka boleh bermain lebih bagus."

"Kecewa setelah tidak dapat mencapai sasaran ke separuh akhir tetapi saya berbangga dengan pasukan. Terima kasih kepada semua pemain serta barisan kejurulatihan yang memberi komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan. Cuma, rezeki tidak menyebelahi kami," tambah Hadi Fayyadh.