Keharmonian dan keserasaian yang dipupuk dalam waktu singkat menjadi taruhan buat skuad B-22 negara menjelang kempen Kejohanan AFF di Kemboja yang bermula Isnin ini.

Skuad negara sempat melakukan sesi pemulihan sebaik tiba di Kemboja hari ini dan bagi tonggak jentera serangan negara, Jafri Firdaus Chew, keadaan skuad negara ketika ini amat harmoni dengan perpaduan setiap pemain bagi membentuk pasukan yang serasi.

"Suasana ketika ini nampak harmoni tanpa berpuak-puak.

"Ia sesuatu yang positif untuk pasukan," katanya.

Mengulas mengenai cabaran sebagai penggempur utama negara di samping penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Jafri berkata: "Tugasan sebagai penyerang merupakan tanggungjawab saya.

"Saya akan melakukan yang terbaik bersama rakan-rakan lain untuk melaksanakan tugas itu.

"Saya pernah beraksi dengan Hadi sebelum ini, jadi kami tidak mempunyai masalah dalam membentuk persefahaman," katanya.