Ketika lima pemain tidak mendapat restu majikan mereka untuk membantu skuad B-22 negara menghadapi Kejohanan AFF, kelab Liga J2 Jepun, Fagiano Okayama, berbesar hati untuk melihat penyerang mereka, Hadi Fayyadh Abdul Razak, menyarung jersi kebangsaan.

Restu daripada majikannya itu menjadi penyuntik semangat buat Hadi Fayyadh ketika Okayama bakal membuka kempen Liga J2, 24 Februari ini, serentak dengan Kejohanan AFF di Kemboja.

Sejak menandatangani kontrak dengan kelab itu Disember lalu, Hadi Fayyadh sempat menjalani latihan pra-musim selama sebulan sebelum menyahut panggilan daripada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

"Alhamdulillah, pasukan saya memberikan lampu hijau untuk saya menyertai skuad kebangsaan.

"Mereka beranggapan mewakili negara merupakan satu penghormatan dan rakan sepasukan saya di sana juga tidak pernah memperoleh peluang untuk mewakili Jepun.

"Mereka amat gembira saya dapat mewakili Malaysia dan mendoakan kejayaan saya," katanya.

Ketiadaan beberapa bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid memberikan peluang buat Hadi Fayyadh untuk mengintai peluang membarisi kesebelasaan utama skuad negara.

"Semua pemain yang dipanggil mempunyai potensi yang tinggi dan baik.

"Saya berharap kejohanan ini akan membuka peluang untuk kami membuktikan sesuatu bersama skuad negara.

"Ia merupakan cabaran yang baik dan dapat membantu saya untuk meningkatkan permainan," tambahnya.