Memastikan gawang negara tidak dibolosi menjadi keutamaan tonggak pertanan, Dominic Tan, ketika Malaysia bersedia dengan apa jua kejutan daripada tuan rumah, Kemboja, dalam aksi sulung Kejohanan AFF B-22, malam ini.

Dua latihan taktikal di Phnom Penh lebih tertumpu kepada gerakan dan pemahaman taktikal berbanding kajian mendalam terhadap lawan.

Bebanan untuk bersedia dengan corak permainan lawan terletak di bahu barisan kejurulatihan, namun
Dominic akur dia dan rakan sepasukannya juga perlu berwaspada.

"Saya yakin mereka adalah pasukan yang baik dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Perlawanan pertama adalah perlawanan yang paling penting untuk kami mendapatkan rentak.

"Sudah pasti kami mahu menamatkan perlawanan tanpa dibolosi, namun kami tidak boleh memandang rendah mereka dan mengekalkan keyakinan dalam pasukan," katanya.

Malaysia akan turun beraksi dengan sasaran untuk memenangi perlawanan menentang Kemboja bagi mengelak misi sukar ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Dominic memberi bayangan skuad negara kini mempunyai perwatakan besar untuk bangkit jika keadaan memerlukan.

"Kemenangan pertama akan membantu kami menghadapi dua perlawanan akan datang.

"Jika menang, ia akan memudahkan laluan kami.

"Jika tewas, kami perlu segera bangkit," tambahnya.