Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan 'kumpulan maut' dalam Kejohanan AFF B-18 2019 sebagai cabaran awal buat skuad B-18 negara sebelum menghadapi kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020, November depan.

Malaysia merupakan juara bertahan bagi kejohanan berkenaan yang sebelum ini membabitkan pemain skuad B-19 negara.

Ia menyaksikan skuad bimbingan bekas pengendali, Bojan Hodak, itu menewaskan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir di Indonesia, Julai tahun lalu.

Namun, misi Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan tahun ini tampak sukar apabila diundi bersama tiga pasukan terkuat, iaitu Thailand, tuan rumah, Vietnam, Australia selain Singapura dan Kemboja dalam Kumpulan B.

"Fokus FAM adalah memastikan persembahan dalam Kejohanan AFF dan ia merupakan persediaan buat mereka menghadapi Kejohanan AFC.

"Tidak mengira apa, Malaysia perlu menghadapi lawan yang sukar seperti Thailand dan Vietnam jika mahu muncul juara," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Terdahulu, berlangsungnya majlis kepulangan dua pemain skuad B-18 tahun negara, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar, dari Fukushima, Jepun.

Mereka yang selesai menyertai program Asian Eleven di Jepun, kini bertekad untuk membantu skuad B-18 tahun negara dalam kejohanan itu nanti.

"Ia dilihat sebagai kumpulan maut tetapi kami perlu menghadapinya dan mengharumkan nama negara," kata Ali.

"Saingan kumpulan agak sukar dengan kehadiran pasukan seperti Thailand. Semestinya mereka akan memberikan tentangan sengit buat Malaysia," tambah Harith.