Malaysia terlepas untuk unggul selaku juara apabila tewas tipis 1-0 di tangan Australia dalam final Kejohanan AFF B-18 di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, semalam.

Skuad kendalian Brad Maloney itu gagal menggulangi rentak sama setelah cemerlang menundukkan Australia 3-0 sewaktu saingan peringkat kumpulan.

Aksi babak pertama menyaksikan skuad negara terlalu berhati-hati dengan lawan sehingga mencetuskan persembahan hambar tatkala beberapa percubaan yang dilancarkan menerusi Luqman Hakim Shamsuddin dan Mukhairi Ajmal Mahadi gagal menemui sasaran.

Memasuki babak kedua, skuad kebangsaan sekali lagi berpeluang meledak gol pembukaan menerusi Firdaus Khaironnisam tetapi bola percubaannya sekadar menggegar palang.

Lachlan Brook melenyapkan harapan Malaysia menerusi jaringan tunggal ketika permainan berbaki 10 minit selepas dia mudah menewaskan Firdaus Irman Mohd Fadhil dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.

"Terdapat beberapa cabaran yang kami hadapi, terutama beraksi selama 120 minit dalam aksi sebelum ini. Tidak mudah untuk pemain memulihkan diri," kata Maloney.

"Kami telah menangani lawan dengan jauh lebih baik berbanding pertemuan sebelum ini. Dalam babak kedua, aksi lebih getir," ujar pengendali skuad B-18 Australia, Gary Rudy.

Sementara itu, kapten negara, Mukhairi Ajmal, menganggap apa yang berlaku dalam Kejohanan AFF kali ini sebagai pengajaran yang berguna untuk pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung November depan.

"Saya rasa sedih tetapi sedikit gembira tetap ada kerana kami sudah melakukan yang terbaik sehingga melangkah ke final. Selepas ini saya akan lakukan lebih baik," katanya.

Dia mengakui jaringan pada minit akhir menyentap emosinya dan anak jati Pahang itu tampak sugul sebaik tamat perlawanan.

"Moral memang menurun kerana tewas akibat jaringan pada minit akhir tetapi kami sudah cuba sehabis baik. Tiada rezeki untuk kami, mungkin perlu tingkatkan lagi corak permainan."