Jurulatih skuad B-19 negara, Bradley Maloney, memilih empat pasukan tempatan untuk menguji pemainnya bagi menepati pemilihan 23 terbaik untuk Kejohanan AFF B-18 Tahun di Bandaraya Ho Chi Minh bulan depan.

Satu pasukan Liga Super, iaitu PJ City, dan tiga pasukan Liga Perdana melibatkan PDRM, Terengganu II dan Selangor United menjadi medan ujian buat 35 pemain yang kini dalam kem latihan skuad B-19 negara.

Maloney menyifatkan empat pasukan itu umpama tapisan terbaik untuk dia mendapatkan pemain yang memiliki kriteria penting untuk membawa nama selaku juara bertahan.

"Mereka merupakan pasukan yang berkualiti dan ia akan menjadi cabaran serta ujian terbaik buat skuad kendalian saya bagi menghadapi kejohanan di Vietnam nanti," katanya.

Maloney mengakui membawa nama sebagai pasukan juara dalam edisi terdahulu bukan perkara mudah, malah dengan barisan pemain yang baru, dia terpaksa bermula dari bawah untuk melihat pemain yang bena-benar layak.

"Segalanya masih lagi awal dan kami dalam proses penilaian. 35 pemain yang menyertai sesi latihan akan dinilai menerusi perlawanan persahabatan yang telah ditetapkan dan kami akan menyenaraikan 23 pemain terakhir bagi menghadapi Kejohanan AFF B-18 nanti."

Melewati tiga hari kem latihan, Maloney mengakui terdapat beberapa pemain yang sudah mula berjaya menambat perhatiannya.