Jaringan tunggal Muhammad Daniel Amier Norhisham membantu Malaysia mengejutkan Arab Saudi 1-0, sekali gus mencipta sejarah baru buat negara mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, sebentar tadi.

Daniel memperoleh jaringan itu menerusi rembatan deras ke arah kanan gawang selepas berjaya mengawal baik bola yang terlepas daripada kekalutan di depan pintu gol Arab Saudi pada minit ke-28.

Sekalipun lawan selepas itu menguasai sebahagian besar perlawanan dengan menggandakan asakan ke kubu Malaysia, mereka gagal menembusi gawang negara, yang mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga rehat.

Serangan bertali arus Arab Saudi, terutama pada separuh masa kedua, turut memaksa pertahanan Malaysia bekerja keras sambil sesekali skuad negara melakukan gerakan pantas ke arah kubu lawan.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee bertahan dengan cemerlang, membuatkan pemain Arab Saudi lebih agresif sehingga mengasari beberapa pemain negara.

Pada minit ke-83, Kim Swee memasukkan Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk menggantikan Muhammad Akhyar Abdul Rashid bagi menyegarkan barisan depan ketika lawan berhempas-pulas memburu gol pertama.

Asakan demi asakan yang dilakukan Arab Saudi tetap gagal menghadiahkan gol di sebalik pertahanan negara yang mempamerkan disiplin tinggi, membolehkan Kim Swee menghela nafas lega apabila keputusan 1-0 kekal hingga tamat.

"Sudah tentu apa yang saya lihat adalah keputusan yang baik. Semua pemain menunjukkan keinginan yang tinggi untuk ke suku akhir.

"Saya enggan mengulas bagaimana kami bermain tetapi dalam situasi seperti ini keputusan adalah lebih penting," kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya akui kecewa dengan kekalahan ini tetapi saya memuji persembahan skuad Malaysia, di mana lawan beraksi baik dan penuh berdisiplin ketika bertahan. Tahniah buat mereka," kata jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia.

Dalam pada itu, penjaring gol tunggal perlawanan, Daniel atau lebih mesra dipanggil Boy, melahirkan rasa syukur kerana berjaya membuktikan kemampuan ketika dia jarang mendapat peluang bermain.

"Saya tidak sangka (dapat menjaringkan gol) kerana saya bukan pilihan utama sebelum ini. Alhamdulillah, apabila dapat peluang, saya memberikan yang terbaik untuk negara dan pasukan," katanya.

Malaysia, yang menduduki tangga kedua Kumpulan C, mara ke suku akhir mengiringi juara kumpulan, Iraq, yang menumpaskan Jordan 1-0.

Jordan berada di kedudukan ketiga manakala Arab Saudi di tangga keempat.