Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yakin hasrat Malaysia untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 mampu menjadi kenyataan andai aksi bertemu Jordan Sabtu lalu diulangi dalam pertemuan menentang Arab Saudi di Stadium Kunshan, China, malam ini.

Beliau berharap prestasi yang sama mampu diulangi skuad negara jika benar mereka mahu merealisasikan hasrat melangkah ke suku akhir kejohanan itu buat pertama kali.

Sudah pasti lawan tidak akan membuka jalan dengan mudah, namun beliau mengharapkan semangat Malaysia melebihi segalanya-galanya demi mencipta sejarah baru.

"Saya harap mereka dapat menunjukkan prestasi terbaik dan berjuang habis-habisan. Kalau dapat kemenangan mungkin layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Pasukan negara hampir mencipta kemenangan ketika bertemu Jordan, tetapi nasib sekali lagi tidak menyebelahi barisan Datuk Ong Kim Swee menyaksikan keputusan berakhir dengan seri 1-1.

Terdahulu, Malaysia gagal mengutip sebarang mata apabila tewas 4-1 dengan Iraq dalam perlawanan pertama.

Malaysia tiada pilihan lain selain memastikan kemenangan ke atas Arab Saudi jika mereka mahu memastikan kemaraan dalam saingan kali ini.

"Perlawanan terakhir ini mungkin paling sukar sebab kita berdepan dengan pasukan yang agak hebat.

"Tetapi saya bangga melihat corak permainan kita dengan Jordan. Saya rasa kita patut menang perlawanan tersebut," tambahnya.

Aksi terakhir Kumpulan C turut menampilkan pertemuan Iraq dan Jordan, di mana peluang untuk mara ke suku akhir masih terbuka buat kesemua pasukan walaupun Iraq mendahului dengan empat mata, diikuti Jordan dan Arab Saudi yang masing-masing mengumpul dua mata.