KOREA SELATAN 1 ARAB SAUDI 0
(Korea Selatan menang dalam masa tambahan)

Tandukan Jeong Tae-wook dalam masa tambahan membantu Korea Selatan untuk menundukkan Arab Saudi 1-0, sekali gus menjulang trofi juara Kejohanan AFC B-23 2020 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.


Selepas gagal mencari gol pemutus perlawanan dalam tempoh 90 minit sekalipun kedua-dua finalis itu saling memberikan asakan hebat, namun kejuaraan sulung mula terbayang buat Korea ketika permainan bersisa tujuh minit.

Kejohanan AFC B-23 kini mempunyai empat juara berbeza dalam empat edisi pertama yang menyaksikan Korea Selatan menyertai Iraq (2013), Jepun (2016) dan Uzbekistan (2018) sebagai pemenang kejohanan bertaraf benua tersebut.

Perebutan gelaran di Bangkok itu menyaksikan Korea dan Arab Saudi menghidangkan satu perlawanan yang menghiburkan selepas saling memiliki peluang terhidang dalam 45 minit pertama.

Namun, The Green Falcons terlebih dahulu menghadirkan ancaman awal apabila Abdullah Al Hamdan sempat menguji penjaga gawang, Song Beom-keun, sejurus sepak mula sebelum rakan sepasukannya, Abdulrahman Ghareeb, hampir menghukum penguasaan milik Korea Selatan pada minit ke-12.

Begitupun, situasi berubah lapan minit kemudian apabila Taegeuk Warriors mempunyai peluang pertama tetapi penyerang SC Freiburg, Jeong Woo-yeong, yang berhasil melarikan bola di dalam kotak penalti menerusi celah kaki Abdulhamid telah dihampakan penjaga gol, Mohammed Al Yami, yang pantas menghidu kedudukan berkenaan.

Usaha jarak dekat Al Hamdan pula disekat kapten Korea Selatan, Lee Sang-min, pada minit ke-29 dan pada masa yang sama, Woo-yeong gagal melakukan percubaan tepat ketika berada di dalam kotak penalti tiga minit menuju waktu rehat.

Jurulatih Korea, Kim Hak-bum, mengejutkan ramai apabila menggantikan Woo-yeong dengan Lee Dong-jun sebaik perlawanan bersambung.

Penyerang yang baru diperkenalkan itu lantas menjadi pusat kepada asakan yang dicetuskan Korea dalam babak kedua.

Pada minit ke-58, percubaan Dong-jun dikekang Al Yami selepas penyerang Busan IPark itu menyusup ke kawasan lawan lalu melepaskan sepakan rendah ke penjuru gawang lawan.

20 minit kemudian, pemain berusia 22 tahun itu memanfaatkan kekalutan pertahanan, Abdulbassit Hindi, yang tergelincir sehingga sekali lagi memaksa penjaga gol itu menafikan percubaannya dengan kaki.

Permainan terpaksa diheret ke masa tambahan dan titik tolak kemenangan Korea bermula sebaik Kim Dae-won dijatuhkan Abdulhamid di sebelah kiri.

Pemain gantian, Lee Dong-gyeong, mengapungkan bola dengan kaki kirinya untuk disambar pemain tengah, Tae-wook, dari Daegu FC bagi membolehkan Korea mengecapi kemenangan manis ke atas keampuhan Arab Saudi.


Editor: Shaiful Shamsudin