Tonggak pertahanan skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Irfan Zakaria, menuntut barisan pertahanan Malaysia mempamer aksi ampuh dengan memastikan gawang tidak dibolosi untuk mencerahkan peluang kutipan tiga mata bertemu Arab Saudi dalam Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, esok.

Selepas berjaya meraih satu mata (1-1) berharga bertemu Jordan kelmarin, skuad muda kebangsaan kini berdepan misi wajib menang menentang Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Hanya kemenangan mampu membawa Malaysia ke suku akhir tetapi bakal tersingkir awal jika sebaliknya berlaku.

Menyedari hakikat itu, Irfan yang juga pertahanan utama negara mahu semua pemain memberi komitmen tinggi sepanjang 90 minit, terutama mengekang asakan lawan.

"Bagi saya, pertahanan perlu bangkit agar tidak melepaskan gol sebab perlawanan terakhir ini sangat penting bagi melayakkan kami ke suku akhir.

"Kami perlu bermain bermati-matian dan mengikut segala perancangan diberikan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee," katanya.

Pertahanan Kuala Lumpur ini, bagaimanapun, mengakui ia bukan tugas mudah buat skuad negara untuk mencapai misi itu.

Jelasnya, mereka harus berwaspada dengan kehebatan pasukan lawan yang diakuinya memiliki semangat juang tinggi berdasarkan dua perlawanan bertemu Jordan (2-2) dan Iraq (0-0).

"Berdasarkan penilaian saya, Arab Saudi ini tidak mudah berputus asa. Ketika menentang Jordan, mereka ketinggalan 0-2 dan bangkit meraih 2-2. Dan menentang Iraq pun mereka seri 0-0.

"Dalam perlawanan terakhir ini, kedua-dua pasukan (Malaysia dan Arab Saudi) mahu menang untuk layak ke suku akhir. Kami tidak boleh ambil mudah dan perlu memberikan 100 peratus fokus," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan negara, Adam Nor Azlin, berkata Malaysia tidak boleh menganggap perlawanan menentang Arab Saudi sama seperti Jordan.

"Kami kena fokus dan tidak boleh anggap sama. Jika kami kekalkan momentum, tingkatkan prestasi dan bermain secara berpasukan, Insya-Allah, semuanya tidak mustahil," ujarnya.