Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, menyimpan hasrat untuk membawa skuad negara mara lebih jauh walaupun sudah melakar sejarah gemilang melangkah ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China.

Jurulatih kelahiran Melaka itu mencipta magis di bumi China apabila membimbing skuad muda negara mencapai misi melepasi saingan peringkat kumpulan.

Ia susulan kejayaan anak buahnya menundukkan Arab Saudi 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Kunshan, semalam.

Memberi kejutan kepada ramai pihak menerusi pencapaian itu, Kim Swee mahu anak buahnya membuktikan mereka sememangnya layak beraksi dalam suku akhir.

"Sudah tentu, apabila kami layak, bukan sahaja untuk kami layak, memang kami layak untuk bermain di peringkat lebih tinggi dan sudah tentu mahu mara ke separuh akhir," katanya.

Dalam perlawanan semalam, pemain tengah, Muhammad Daniel Amier Norhisham, muncul wira apabila meledak gol tunggal pada minit ke-28 untuk kemenangan skuad negara.

Sementara itu, Kim Swee mengesahkan skuad negara kini mengalami krisis kecederaan melibatkan beberapa pemain utama.

"Ramai pemain mengalami kecederaan dan kami masih ada kira-kira tiga hari sebelum beraksi dalam suku akhir Sabtu ini. Kami akan melihat nanti siapa yang boleh bermain," katanya lagi.