Penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, enggan insiden tertumbuk bola ke gawang sendiri mempengaruhi permainannya di atas padang untuk aksi penting menentang Arab Saudi dalam Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, malam ini.

Dia menjadi individu yang paling diingati ketika menentang Thailand dalam aksi final Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu apabila tertumbuk bola ke gawang sendiri.

Insiden itu menyebabkan skuad muda negara berputih mata untuk meraih pingat emas, sebaliknya sekadar berpuas hati dengan perak.

Sekali lagi akan dipertaruhkan untuk aksi penting dalam Kejohanan AFC, Haziq optimis untuk tidak mengulangi kesilapan itu.

"Saya hanya perlu lupakan insiden itu dan melakukan yang terbaik kali ini. Saya gigih berlatih dan tidak memikirkan masa lalu," katanya.

Haziq dijangka mengemudi benteng akhir skuad negara selepas tampil dengan persembahan memuaskan ketika perlawanan menentang Jordan, Sabtu lalu.

Dia yang mengambil alih tempat Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya menafikan beberapa percubaan bahaya lawan dan sekadar dibolosi satu gol.

"Saya harap dapat diturunkan dan melakukan yang terbaik menentang Arab Saudi. Saya juga berharap rakan-rakan yang dapat bermain dapat memberikan sepenuh komitmen di dalam padang," ujarnya.

Aksi terakhir Kumpulan C turut menampilkan pertemuan Iraq dan Jordan, di mana peluang untuk mara ke suku akhir masih terbuka buat kesemua pasukan walaupun Iraq mendahului dengan empat mata, diikuti Jordan dan Arab Saudi yang masing-masing mengumpul dua mata.