Penyerang simpanan, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, mengintai peluang untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, malam ini.

Ia susulan aksi kurang memuaskan penyerang utama Jafri Firdaus Chew dalam dua perlawanan terdahulu, ketika seri 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 di tangan Iraq.

"Saya harap diberi kepercayaan oleh jurulatih (Datuk) Ong (Kim Swee) kerana saya berasa sudah bersedia. Saya harap dapat membantu pasukan untuk mendapat keputusan yang baik," ujarnya.

Antara pemain paling muda dalam kejohanan ini, Hadi yang akan mencecah usia 18 tahun Isnin ini perlu bersaing dengan R. Kogileswaran untuk merebut peluang bermain.

Dia antara pemain yang belum mendapat peluang beraksi selain kapten Muhammad Adib Zainudin , Muhammad Syahmi Safari, dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

"Bagi saya usia itu hanyalah angka. Tiada masalah. Cuma, ia terletak kepada diri sendiri termasuk keyakinan. Kalau kita cakap kita boleh buat, kita boleh buat," katanya.

Aksi terakhir Kumpulan C turut menampilkan pertemuan Iraq dan Jordan, di mana peluang untuk mara ke suku akhir masih terbuka buat kesemua pasukan walaupun Iraq mendahului dengan empat mata, diikuti Jordan dan Arab Saudi yang masing-masing mengumpul dua mata.