"Saya akan terus lakukan hantaran maut," demikian tekad pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Danial Amier Norhisham, untuk pertemuan wajib menang di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, esok.

Danial adalah antara wira yang tidak didendang selepas skuad muda negara berjaya mengikat Jordan 1-1 di Stadium Changshu, kelmarin.

Sungguhpun tidak menyerlah berbanding tonggak lain, pemain yang mesra disapa Boy itu merupakan pencetus awal jaringan penyamaan skuad negara.

Ia menerusi hantarannya kepada Muhammad Akhyar Abdul Rashid sebelum Akhyar dijatuhkan untuk mendapatkan sepakan penalti buat Malaysia.

"Alhamdullillah, sebab pergerakan itu bermula daripada saya. Saya memenangi bola di tengah dan kemudiannya Akhyar membuat larian yang bagus. Jadi, saya tahu saya mempunyai kelebihan untuk membuat hantaran ke depan seperti itu.

"Sudah tentu saya akan membuat hantaran seperti itu lagi dan memperbaiki permainan saya untuk membantu pasukan Malaysia mengutip tiga mata menentang Arab Saudi," katanya.

Sehubungan itu, penampilan Boy sekali lagi tampak ditagih jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee, untuk berdepan naib juara 2013 itu.

Dijangka beraksi bersama Muhamad Nor Azam Abdul Azih di bahagian tengah, produk Frenz United itu percaya mereka mampu menandingi kehebatan lawan jika terus menampilkan semangat berpasukan.

Perlawanan menentang Arab Saudi merupakan peluang terakhir Malaysia untuk mencatat kemenangan bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.