Jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia, merancang strategi berbeza untuk pertemuan menentang Malaysia selepas skuad negara mempamer kejutan mengikat Jordan 1-1 dalam Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China, kelmarin.

Hadir dengan reputasi hebat selaku naib juara edisi 2013, Arab Saudi, bagaimanapun, bergelut untuk melepasi halangan peringkat Kumpulan C.

Mereka sekadar mengutip dua mata selepas mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Jordan dan 0-0 menentang Iraq.

Tiada pilihan, Arab Saudi juga perlu menang dalam aksi terakhir Kumpulan C, dengan Teglia tampak melakukan perubahan dalam percaturan taktikalnya berdepan Malaysia di Stadium Kunshan, esok.

"Malaysia merupakan pasukan yang lain daripada Iraq atau Jordan. Jadi, saya perlu melakukan strategi berbeza berdepan mereka.

"Apa sekalipun, kami akan melakukan sehabis baik untuk mencatat kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Pengendali dari Argentina itu, bagaimanapun, mengambil pendekatan merendah diri apabila tetap mengakui Malaysia lawan yang kuat.

Malah, Teglia yang dilantik mengedalikan pasukan itu Oktober lalu mengakui kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk meneruskan kemaraan.

Dalam pertemuan terakhir peringkat B-23, Malaysia tumpas 3-0 kepada Arab Saudi dalam Sukan Asia di Incheon pada 2014.