Jurulatih skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan dua pemain utamanya, Adam Nor Azlin dan N. Thanabalan, dilanda masalah kesihatan dan kecederaan, sekali gus bakal diketepikan daripada perlawanan menentang Jordan dalam aksi kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China, Sabtu ini.

"Adam mengalami demam sedikit dan tidak begitu serius manakala Thanabalan mempunyai kecederaan hamstring.

"Kami akan lihat keadaan Thanabalan dalam tempoh sehari dua lagi untuk menentukan dia boleh bermain atau tidak," katanya.

Sehubungan itu, dua pemain berkenaan diberi pelepasan oleh Kim Swee untuk tidak menyertai latihan pasukan hari ini bagi mendapatkan rehat secukupnya.

Berharap mereka dapat sembuh dan pulih dengan segera sebelum bertemu Jordan, Kim Swee optimis pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan tersebut, terutama tempat Thanabalan setelah pemain muda, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, mempamer aksi menyerlah selaku pemain gantian ketika menentang Iraq, semalam.

"Saya tidak nafikan selepas Akhyar dimasukkan, banyak gerakan dilakukan baik di sebelah kiri atau kanan di bahagian serangan. Ia (kemasukan Akhyar) terpulang kepada situasi nanti apabila kami bermain dengan Jordan," ujar jurulatih itu.

Dalam perlawanan pembukaan semalam, Malaysia tewas 1-4 kepada Iraq, dengan gol tunggal negara dijaringkan oleh Muhammad Safawi Rasid.