Benteng pertahanan digesa menjadi watak utama dalam aksi pertama Kejohanan AFC B-19 menentang Arab Saudi di Indonesia, Sabtu ini.

Demikian tegas pengendali negara, Bojan Hodak, yang menjangkakan aspek serangan Arab Saudi yang lebih tajam mampu merobek gawang Malaysia terlebih awal.

Sedar bukan mudah untuk anak buahnya mengatasi kekuatan dimiliki lawan, setidak-tidaknya aspek bertahan mampu menjadi kunci utama bagi mengelak Malaysia tersungkur awal di tangan Arab Saudi.

"Dalam setiap kejohanan, peringkat suku akhir dan separuh akhir sentiasa menjadi idaman.

"Bagaimanapun, kami akan kembali bersaing selepas hampir 12 tahun.

"Sudah tentu kami bukan merupakan pasukan pilihan, namun kami cuba menggunakan pendekatan berdisiplin, khususnya bahagian pertahanan, sambil mengintai peluang untuk mencipta jaringan," kata Hodak.

Hodak tidak bersembunyi di sebalik realiti bahawa bukan mudah untuk skuad negara layak ke Piala Dunia B-20 tahun hadapan.

Lebih selesa turun selaku pasukan bukan pilihan, jurulatih dari Croatia berkenaan hanya ingin pemain fokus satu demi satu perlawanan daripada terlalu memikirkan misi berkenaan yang dikhuatiri mampu menjejaskan tumpuan pasukan.

"Ramai yang menaruh harapan tinggi agar kami layak ke Piala Dunia B-20. Persoalannya, berapa kalikah Malaysia pernah layak? Tidak pernah di peringkat umur mana-mana pun.

"Jurang di antara setiap pasukan dalam saingan seperti B-16 lebih rendah dan secara realistiknya, peluang kami tipis tetapi dalam bola sepak, semuanya tidak mustahil.

"Saya akan cuba menggunakan khidmat setiap pemain dan kami akan mengharungi satu persatu perlawanan," katanya.