MALAYSIA 6 TAJIKISTAN 2

Luqman Hakim Shamsudin mencetuskan sensasi apabila menyumbat empat gol ketika membantu skuad muda negara membenam Tajikistan 6-2 dalam perlawanan pembukaan Kejohanan AFC B-16 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Selepas 30 minit permainan, terbit garis pemisah apabila penyerang sensasi, Luqman Hakim, bijak memperdayakan penjaga gol Tajikistan untuk gol pertama.

Selang seminit, kelincahan Luqman Hakim memaksa Kashanov menjatuhkannya untuk penalti buat Malaysia. Muhamad Najmudin Samat kemudian tidak melakukan kesilapan untuk gol kedua negara.

Luqman Hakim terus mencipta gemilang apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke 42. Dia melengkapkan hatrik dengan memperdayakan pertahanan Tajikistan hanya seminit selepas permainan bersambung.

Luqman Hakim terus bernafsu untuk merobek gawang lawan biarpun hujan turun semakin lebat apabila meledak gol keempat pada minit ke-67 untuk Malaysia mendahului 5-0.

Dalam keadaan tertekan, Tajikistan dapat juga meloloskan diri apabila Isroil Kholov menjaringkan gol pertama pada minit ke-72.

Namun, tiga minit selepas itu, Alif Mutalib menyumbat penalti kedua buat Malaysia manakala Sharifbrek Ramatov menyudahkan penalti buat Tajikistan selepas insiden kad merah ke atas penjaga gol Malaysia pada penghujung saingan.

"Kami sangat gembira memenangi aksi sulung.

"Kalau kami mahukan permulaan yang baik, maka kami telah mencapainya.

"Meskipun menang 6-2, tetapi ia ibarat kelahiran anak pertama.

"Keputusan 6-2 tampak seperti jurang kemenangan yang besar, namun ia menuntut kerja keras anak buah saya.

"Jadi, saya gembira kami menang," kata jurulatih negara, Lim Teong Kim.