Kejayaan merangkul pingat emas acara 100 meter T-36 dalam Sukan Paralimpik Rio menyaksikan peminat sukan tanah air memilih aksi cemerlang atlet Paralimpik, Ridzuan Puzi, sebagai detik terbaik sukan negara sepanjang 2016.

2016 merupakan tahun yang cukup sibuk bagi atlet negara dengan kejohanan berprestij seperti Sukan Olimpik Rio sebagai penanda aras pencapaian.

Selain Ridzuan, empat lagi atlet yang disenarai pendek, iaitu Faiz Subri (pemain bola sepak), Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli (atlet Paralimpik Rio) serta Khairul Idham Pawi (pelumba Moto3) dianggap paling mencuri tumpuan selepas mencipta rekod baru, bukan sahaja dalam kerjaya masing-masing, tetapi buat negara.

Menerusi undian yang dijalankan sejak dua minggu lalu, Malaysia sebulat suara memilih kejayaan atlet Paralimpik, Ridzuan, yang merupakan atlet kelahiran Perlis.