Kejayaan sebuah pasukan bola sepak daripada sudut peminat sudah pasti lebih tertumpu kepada kemampuan seorang ketua jurulatih mencanang pendekatan taktikal serta membentuk kombinasi terbaik buat pasukan.

Namun, ramai yang tidak sedar tanggungjawab seorang jurulatih kecergasan juga memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah pasukan.

Tugas utama bagi mana-mana jurulatih kecergasan adalah untuk memastikan pemain kurang mengalami kecederaan apabila mengharungi musim Liga Malaysia.

Mereka juga bertanggungjawab memastikan seseorang pemain itu dapat mengharungi 90 minit perlawanan atau bertahan untuk satu musim tanpa rasa kejang atau sengal-sengal otot.

Tugas seorang jurulatih kecergasan akan bermula sebaik pasukan memulakan aksi pra-musim menjelang pembukaan tirai liga.

Bagi pasukan kelab dan negeri dalam saingan Liga M, jurulatih kecergasan pasukan mempunyai masa lebih lama dengan pemain berbanding jurulatih kecergasan dalam skuad senior dan bawah 22 tahun kebangsaan.

"Tahap pengalaman pemain juga perlu diambil kira. Kalau pemain baru, kami akan banyakkan latihan yang berlainan berbanding pemain berpengalaman. Tetapi objektif tetap sama, mengekalkan tahap fizikal di tahap terbaik selain daripada mengurangkan risiko kecederaan," jelas jurulatih kecergasan Selangor, Norhuda Hiroshi Razak.

Sementara itu, jurulatih kecergasan Felda United, M. Dhamendra, berkata: "Bola sepak sekarang berbeza kerana pemain berdepan kemahuan lebih tinggi oleh jurulatih," katanya.

Dalam skuad senior kebangsaan, jurulatih kecergasan seperti Ruben Jude akan memantau tahap kecergasan pemain dan pada masa sama berkomunikasi dengan jurulatih kecergasan di peringkat kelab bagi menentukan proram sesuai apabila melapor diri untuk tugasan antarabangsa.

"Kadang-kala kita hanya ada empat hingga lima hari sahaja tetapi itu bukan alasan. Apa sekalipun kami perlu menentukan program sesuai. Pada sebelah pagi, kami fokus dalam latihan berat badan," katanya.

Bagi jurulatih kecergasan skuad bawah 22 tahun, Mashidee Sulaiman, perangkaan program kecergasan yang sedikit berbeza perlu dilakukan kerana tidak semua pemain berada dalam kesebelasan utama di peringkat kelab atau pasukan negeri.

"Kami perlu menilai keadaan tubuh badan pemain seperti kekuatan otot, fleksibiliti dan ketahanan. Semua ini perlu diteliti setiap kali dipanggil," ujarnya.

Seorang jurulatih kecergasan akan turut mempraktikan pendekatan terkini sains sukan dalam merangka program latihan sesuai buat pemain, namun latihan tidak hanya tertumpu kepada aspek kekuatan seseorang pemain.

Mashidee menambah: "Bola sepak melibatkan senario yang berubah-ubah, jadi di situ pentingnya peranan jurulatih kecergasan dalam membentuk program sesuai bagi setiap pemain."

Kini setiap pasukan Liga M mempunyai jurulatih kecergasan masing-masing dan ia banyak memberi kesan positif dalam usaha membawa martabat bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.