Julen Lopetegui berkata kekalahan kepada Atletico Madrid dalam Piala Super UEFA tidak bermakna Real Madrid akan memutuskan untuk menandatangani pemain baru.

Bekas jurulatih Sepanyol itu menyaksikan kelab baru kendaliannya tewas 2-4 di Tallinn awal pagi tadi menerusi dua gol Diego Costa serta masing-masing satu gol sumbangan Saul Niguez dan Koke untuk Atletico meraih kemenangan bergaya ke atas seteru setempat itu.

Jodoh pemenang Liga Juara-Juara (UCL), Madrid, dengan Cristiano Ronaldo berakhir apabila pemain itu memilih untuk menyertai juara Serie A, Juventus, sementara Luka Modric turut dikaitkan dengan perpindahan ke Itali -- jurulatih Inter, Luciano Spalletti, mengesahkan minat mereka terhadap pemenang Bola Emas Piala Dunia Russia tersebut.

Walaupun secara tradisinya gemar membeli pemain ternama, Madrid tidak berbelanja besar meskipun dikaitkan dengan bintang handalan, termasuk Eden Hazard, Mauro Icardi dan Robert Lewandowski.

Tiada usaha untuk menggantikan tempat Ronaldo di Santiago Bernabeu, namun Lopetegui menegaskan tidak akan ada rasa panik dalam pembelian di sebalik membenarkan Atletico meraikan kejayaan di ibu negara Estonia itu.

"Apa yang digariskan oleh dasar kelab tidak berubah di sebalik keputusan perlawanan ini," kata Lopetegui kepada Movistar. "Kempen LaLiga sudah bermula, ia merupakan gelaran penting bagi saya dan kami perlu bermula dengan baik.

"Kami bermain dengan baik dalam masa tambahan. Kami menguasai, menggabungkan dan bermain bersama dengan perasaan yang baik. Selepas kedudukan menjadi 2-3, permainan berubah, masalah mula muncul lalu kami mencari penyelesaian dengan mengambil keputusan yang berisiko.

"Akhirnya, perbezaan itu mendorong kepada kesilapan yang boleh diambil kesempatan manakala Atletico adalah pakar dalam hal itu. Mereka menghukum kami dan kami harus mengucapkan tahniah kepada mereka kerana mereka sememangnya berhak untuk menang."

Gelaran ketujuh Diego Simeone memastikan pengurus kelahiran Argentina itu kini menjadi jurulatih paling berjaya dalam sejarah Atletico dengan mengatasi Luis Aragones.

Begitupun, Simeone sudah mengalihkan tumpuannya kepada permulaan musim LaLiga dengan Atletico akan berkunjung ke Valencia, awal pagi Selasa depan.

"Hari ini, tidak syak lagi kami harus menikmati (kejayaan ini) -- apabila kami kalah, kami menderita, kami menangis, kami marah, kami mengunci diri," kata Simeone kepada Movistar.

"Bermula malam esok, kami akan mula memikirkan soal liga yang akan menjadi musim yang sangat mencabar.

"Lebih banyak gelaran musim ini? Semua orang tahu saya: Valencia."