Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata kegagalan Barcelona mengutip tiga mata menyuntik semangat terhadap anak buahnya untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Real Sociedad.

Madrid kini mendahului LaLiga dengan empat mata hasil kemenangan itu tatkala Barcelona diikat seri 1-1 dengan Real Betis Manakala Sevilla tewas kepada Espanyol.

Barca dan Sevilla telah pun kehilangan mata tatkala anak buah Zidane turun beraksi di Santiago Bernabeu.

"Ia menyuntik semangat kepada kami apabila melihat pencabar kami kehilangan mata berharga," ujar Ziadne. "Senario itu membuatkan kami lebih berazam untuk melakar kemenangan.

"Apa yang penting, pemain memberi fokus terhadap perlawanan tersebut dan kami berjaya memenanginya.

"Kami kini mendahului carta liga dengan kelebihan empat mata. Sudah tentu kami akan berdepan kesukaran dalam perlawanan akan datang tetapi kami perlu menikmati kejayaan ini."

Selepas melakar kemenangan menerusi gol Cristiano Ronaldo, Mateo Kovacic dan Alvaro Morata, Zidane mengakui pasukannya bergelut dalam tempoh beberapa minggu sebelum ini.

"Kemenangan ini cukup penting. Selepas menempuh aksi hambar sebelum ini, kami bangkit dan mempamerkan prestasi sebenar," tambahnya.

"Secara keseluruhan, setiap pemain melakukan tugas dengan baik berdepan lawan sukar. Kami berjaya mengutip tiga mata dan memastikan gawang tidak dibolosi. Malam ini cukup baik buat kami, apatah lagi pencabar terdekat gagal mengutip tiga mata.

"Pada awalnya, kami cuba memberi tekanan kepada pemain tetapi saya kurang berpuas hati kerana kami gagal melakukannya dengan tersusun.

"Tetapi kami perlu berpuas hati selepas menjaringkan gol sepertimana yang dilakukan Kovacic kerana kami telah berlatih bersungguh-sungguh untuk melakukannya."