Cristiano Ronaldo dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah selepas mengalami kecederaan buku lali dalam pertemuan El Clasico, awal pagi tadi.

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menegaskan kecederaan yang dialami pemain utamanya itu hanya masalah kecil walaupun terpaksa digantikan oleh Marco Asensio sewaktu mengikat Barcelona 2-2.

Bintang Portugal itu mengalami sedikit hentakan pada kakinya sewaktu menjaringkan gol penyamaan buat Los Blancos pada minit ke-14 untuk memadamkan jaringan awal Luis Suarez, empat minit sebelum itu.

Ronaldo menolak masuk bola tandukan Karim Benzema dari jarak dekat tetapi berlaga dengan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Gerard Pique.

Dia meneruskan aksi sehingga tamat babak pertama sebelum dikeluarkan Zidane demi menjaga keadaannya.

"Kami akan melihat esok mengenai keadaannya yang tercedera," kata Zidane kepada Movistar Partidazo.

"Ketika ini, ia tidak bagus tetapi tampak satu kecederaan kecil. Dia juga tidak mahu memikirkannya dan situasi itu bukan sesuatu yang patut dirisaukan untuk final Liga Juara-Juara."

Madrid akan berdepan Liverpool di Kiev dalam aksi final pada 26 Mei ini dan berpeluang untuk menggapai kejuaraan tertinggi Eropah itu buat kali ketiga berturut-turut.