Marseille mengesahkan Dimitri Payet bakal direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah digantikan dalam aksi pembukaan Ligue 1 berdepan Dijon di Stade Velodrome.

"Kapten OM, Dimitri Payet, telah menjalani penilaian perubatan pada Isnin dan telah ditemui mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab.

"Pemain ini akan direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali beraksi."

Ia bermakna pemain berusia 30 tahun itu tidak akan diturunkan dalam perlawanan berdepan Nantes dan Angers, dan aksi pertama saingan play-off Liga Europa bertemu Domzale dari Slovenia.