Pengurus Perancis, Didier Deschamps, berkata dia tidak akan teragak-agak untuk menurunkan Blaise Matuidi berbanding Kingsley Coman dalam aksi kelayakan Euro 2020 menentang Iceland selepas pemain sayap Bayern Munich itu mengalami kecederaan paha.

Coman dikeluarkan daripada kesebelasan utama Les Bleus sewaktu aksi menentang Moldova kerana berdepan masalah sewaktu sesi pemanas badan, membuatkan Deschamps menggantikannya dengan Matuidi untuk meraih kemenangan 4-1.

Coman baru sahaja pulih daripada kecederaan belakang paha dan Deschamps berkata dia tidak perlu mengambil risiko dalam aksi bertemu Iceland awal pagi Selasa ini.

"Coman mengalami sedikit masalah di bahagian belakang serta paha," kata Deschamps.

"Saya tidak berada di sini untuk mengaut peluang. Tiada masalah buat saya untuk menggunakan khidmat Matuidi yang tidak menggugat keseluruhan pasukan."

Dalam masa sama, Deschamps menjelaskan kecederaan yang dialami Coman tidak seteruk masalah yang menimpa Lucas Digne yang turut mengalami kecederaan paha sebelum berdepan Moldova.

Bek kiri Everton itu hanya memanaskan bagnku simpanan tatkala Layvin Kurzawa mengisi kesebelasan utama dan Deschamps berkata: "Masalah Coman tidak terlalu serius seperti apa yang dihadapi Digne.

"Digne mengalami komplikasi di bahagian paha. Tiada kecederaan tetapi tidak mungkin dia dapat diturunkan."