Pendahulu Liga Amatur Terengganu (TAL), Kebilal Markless, menamatkan kempen selaku juara selepas mengatasi Separa Elit Akademi Terengganu (ATFC) 3-2, kelmarin.

Dalam aksi di Kompleks Sukan Gong Badak itu, dua jaringan Muhammad Khairul Hafizan Idris pada minit ke-22 dan 34 menyaksikan Kebilal Markless selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama.

Aksi separuh masa kedua semakin sengit, dengan Separa Elit merapatkan kedudukan menerusi Muhammad Mustaqim Zulkiflee pada minit ke-65.

Hanya empat minit kemudian, Muhamad Danial Raimi menjaringkan gol ketiga Kebilal Markless sebelum Separa Elit menjadikan kedudukan 2-3 hasil jaringan Muhammad Amirul Hamiem Roslan (m-79).

Menurut pengurus pasukan Kebilal Markless, Mohd Salleh Isa, persiapan rapi sejak Mei lalu telah membuahkan hasil sambil memuji komitmen barisan pemainnya mengekalkan rentak kemenangan.

Beliau mengakui hampir terlepas gelaran juara setelah kehilangan status pendahulu TAL dalam perlawanan keenam yang mencetuskan kebangkitan pasukan yang berpengkalan di Kampung Manir itu.

“Kejayaan ini hasil kerja-keras pemain-pemain yang memberikan komitmen terbaik serta semangat juang selain tidak kenal erti mengalah.

“Penganjuran liga seumpama ini langkah terbaik memberikan pendedahan kepada pemain-pemain yang tidak berkesempatan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Selaku juara, Kebilal Markless membawa pulang hadiah kemenangan RM2,000.

Gelaran naib juara TAL menjadi milik Island FC yang meraih kemenangan 4-0 ke atas TFFC, sekaligus mengutip 18 mata keseluruhan, dua mata di belakang sang juara.

Turut menang besar ialah pasukan di kedudukan ketiga, CND FC, yang menewaskan Delima Warriors 5-2.

Sementara itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis menundukkan Gemuda FC 1-0 manakala Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket sekadar seri 1-1 dengan Perkasa Alam.

Tumpuan kini terarah kepada aksi Piala Pusingan TAL yang membariskan lima pasukan terbaik Liga Super TAL dan tiga pasukan teratas Liga Perdana TAL bermula minggu depan, dengan wang tunai RM10,000 menanti pasukan juara.