Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menjalin kerjasama dengan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dalam misi untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia, termasuk pembentukan bakat di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menjelaskan kerjasama itu masih dalam fasa pertama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City, Ferran Soriano.

Di samping itu, Syed Saddiq turut menafikan langkah yang diambil KBS itu bercanggah dengan kerjasama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) kerana menganggap ia menawarkan perspektif yang berbeza.

"Kerana kerjasama dengan JFA, ada beberapa perspektif yang akan kami muktamadkan dalam tempoh terdekat, khususnya yang dikepalai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Dia telah melakukan tugasnya dengan amat baik.

"Sebagai contoh, prospek untuk menghantar pemain-pemain kita ke sana.

"Kita sudah memiliki beberapa pemain yang bermain untuk kelab mereka tetapi kita hendak menambahkannya dan pada masa yang sama untuk memastikan perpindahan jurulatih itu akan menjadi lebih banyak," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memberi bayangan bahawa kelab di Malaysia mungkin akan dijadikan sebagai salah satu kelab sokongan juara Liga Inggeris itu memandangkan Manchester City sudah memiliki tujuh kelab sokongan di serata dunia.

"Ada kemungkinan untuk City membeli salah satu daripada kelab di Malaysia untuk memastikan terdapat pelan jangka panjang bagi mengembangkan bola sepak di sini.

"Daripada perspektif KBS, ia juga untuk mengadakan kerjasama bagi meningkatkan sukan bola sepak di peringkat remaja melalui Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP)," tambahnya.